Wednesday, May 22, 2024

Hanya Allah dan Rasulku

       Sejak kecil aku suka memerhati manusia dan merasa sangat hairan dengan sikap dan tingkah-laku manusia.  Aku pening memikirkan isu manusia yang tak habis-habis saban hari.  Selepas membaca kisah Habil dan Qabil, kisah tugas-tugas para Rasul baru aku faham ini adalah dunia. Landasan menuju akhirat yang abadi.

      Namun aku rasa sepi dan keseorangan sebab aku mahu sahaja berbincang mengenai manusia dan tentang ketuhanan tapi rata-rata manusia tak berminat.  Asal aku mula bual tentang ketuhanan sahaja aku akan dipandang aneh.  Maaf kata, bukan aku meletakkan syarat tapi bagi aku, kawan aku perlu berminat berbual tentang ketuhanan. Tiada.

      Semakin menginjak dewasa dunia terasa semakin sepi sehinggalah aku ditemukan dengan 1,2 orang yang berminat berbincang tentang ketuhanan. Alhamdu lillah. Tapi orang hebat seperti ini tak panjang usianya. Aku sunyi kembali.  Aku pelik dengan kehidupan manusia kini yang secara langsung membuat aku rasa asing dan terasing.  Aku tak faham. Hanya kepada Allah aku mengadu dan berserah diri.

      Sehingga satu hari aku 'berlepas diri dari dunia'.  Aku nekad untuk duduk dalam dunia aku sendiri.  Satu dunia yang aku sendiri sahaja tahu sebab di sisi mata orang lain, aku sama sahaja seperti orang lain, meneruskan kehidupan seperti biasa. Cuma aku tiada siapa-siapa melainkan Allah dan Rasulku.

      Suatu hari, mungkin Allah mahu mengujiku sejauh mana kesetiaanku kepadaNya dan RasulNya.  Aku ditemukan dengan seorang insan yang ikhlas, baik budi dan subhanallah bagi aku inilah kawanku. Ohh aku bertemu seorang kawan juga di dunia ini.  Hampir sahaja aku rasa seolah kami sedarah sedaging senaluri.  

      Hmmm.. aku diuji pula apabila tiba-tiba dia meninggalkanku tanpa aku tahu sebabnya. Subhanallah.  Pening aku memikirkan dan aku mengambil masa beberapa hari untuk kendalikan minda dan emosiku. Subhanallah. Aku sedar ini hanya satu ujian. Lafaz hati yang mengatakan aku hanya ada Allah dan Rasulku perlu dibuktikan. Subhanallah. Usah terpedaya dengan dunia yang serba menghias. Semua hiasan ini makhluk Allah dan sifatnya lemah.  Bergantung hatilah kepadaNya yang maha kuat.

      Hari ini 23.5.2024 aku atur langkah setelah kubersihkan semula minda, jiwa dan rohaniku.  Teruskan kehidupan seperti biasa.  Pagi-pagi lagi kita dah berjanji kepada Allah swt "Sesungguhnya solatku, pekerjaanku, hidupku dan matiku hanya kerana Allah swt". Mana janji itu jika masih mengikat diri dengan dunia.

     Aku berlepas diri kembali dengan bebas. Dunia hanya penjara bagi orang-orang tertentu dan lepas bebas bagi orang-orang tertentu. Bebas dalam rahnat Allah swt.  Aku gembira. Sungguh gembira kerana aku kembali kepada pernyataanku,..

      " Aku hanya ada Allah dan Rasulku".

     🌺Life Is Journey From ALLAH To ALLAH🌺

No comments: